Pulau Pinang, Malaysia – Maxis telah mengumumkan peluasan besar rangkaian fibre di Pulau Pinang yang menyasarkan lebih 100,000 sambungan rumah menjelang 2027. Pelaksanaan ini akan merangkumi semua daerah di Pulau Pinang dengan tumpuan kepada kawasan bandar berpermintaan tinggi seperti Jelutong, Georgetown, Batu Maung, Bayan Lepas dan Bayan Baru, termasuk kawasan utama di Seberang Perai.
Menyokong Visi Digital Penang2030
Inisiatif ini selaras dengan visi Penang2030, iaitu usaha negeri untuk membina ekonomi digital yang pintar, hijau dan inklusif.
Ia turut disokong oleh Garis Panduan Ketersambungan Jarak Terakhir (Last Mile Connectivity Guidelines) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri, membolehkan penyedia telekomunikasi meluaskan rangkaian dengan lebih cepat dan efisien.
YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata:
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan peluasan rangkaian fibre oleh Maxis yang sejajar dengan visi Penang2030. Sambungan internet berkualiti tinggi penting untuk pendidikan, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi serta mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab teknologi serantau.”
Mengukuhkan Jejak Fibre Maxis di Seluruh Negara
Ketika ini, rangkaian fibre Maxis meliputi lebih 23,000km di seluruh Malaysia dengan kapasiti untuk menyediakan perkhidmatan kepada lebih 500,000 rumah.
Selain infrastruktur sendiri, Maxis turut bekerjasama dengan penyedia lain untuk memperluas liputan.
Ke hadapan, Maxis akan terus memperluas rangkaian fibre sendiri dan menambah baik penyelesaian sambungan rumah bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia terhadap internet berkelajuan tinggi yang stabil.